
KUALA TERENGGANU, 11 Dis (Bernama) — Musim banjir merupakan detik paling mencabar kepada penternak-penternak ikan air tawar di Sungai Terengganu kerana kadar kematian ikan agak tinggi berbanding di luar musim banjir.
Penternak ikan air tawar di Sungai Terengganu, Mohd Hairi Yassin berkata sejak banjir melanda minggu lalu, kira-kira 20 peratus ternakannya mati.
“Biasanya kadar kematian ikan kurang daripada 10 peratus. Faktor utama ialah sangkar ikan terletak di tengah-tengah laluan air deras menyebabkan ikan mudah mati. Kalau ikan lepas, mereka boleh lari ke tepi di kawasan yang airnya tidak deras,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohd Haiti yang berasal dari Kampung Beladau Selat berkata ada ketikanya sangkar hanyut atau balak yang melanggar sangkar menyebabkan ia terlepas.
Menurut beliau, di kampungnya sahaja terdapat hampir 20 orang penternak ikan air tawar yang aktif, dengan jumlah sangkar melebihi 300 buah.
“Saya sendiri ada 10 sangkar dan mempunyai lebih kurang 12,000 ekor ikan talapia, patin, keli dan baung,” katanya.
Katanya beliau membekalkan ikan-ikan itu kepada restoran di sekitar Bandar Bukit Payong, Marang dan dijual di Pasar Tani Padang Hiliran di sini.
Mohd Hairi berkata beliau mampu mengeluarkan lebih 100kg ikan seminggu pada musim banjir ini kerana permintaan daripada orang ramai begitu tinggi berbanding musim biasa, mungkin disebabkan orang ramai enggan membeli ikan laut kerana harga yang meningkat.
Katanya beliau tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan benih ikan air tawar setakat ini kerana ia boleh dibeli melalui pengeluar di Taman Pertanian Ajil, Hulu Terengganu.