“IKAN kelah merah itu dijual dengan harga RM3,000 seekor dan ia memang rezeki ayah dan kami sekeluarga,” kata Mohd Fitri Mustafa, 25, dari Kampung Temir, Telemong, Hulu Terengganu.
Bapanya, Mustafa Othman, 50, berjaya memancing ikan eksotik seberat 11.6 kilogram (kg) itu di Sungai Temir pada 30 September lalu.
Rezeki Mustafa memancing ikan itu menjadi tular di media sosial dan rata-rata netizen menganggap ia sesuatu yang luar biasa dan jarang berlaku.
Mohd Fitri yang dihubungi berkata, Sungai Temir memang terkenal dengan pelbagai jenis ikan sungai seperti kelah, toman, patin, lampan, tapah dan baung sejak dulu lagi.
“Bagaimanapun ikan kelah merah sebesar itu sudah lama tidak dinaikkan di sungai berkenaan.
“Apabila ayah berjaya menaikkannya ia sesuatu yang luar biasa dan mengejutkan semua penduduk.
“Ikan kelah merah itu dibeli oleh seorang peniaga kedai makan di kawasan sekitar dengan harga pasaran RM3,000 seekor, jika ia masih hidup harganya boleh mencecah RM6,000 seekor,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan bapanya hanya menggunakan umpan buah duku ketika memancing di sungai berkenaan.
“Memang seperti pelik tetapi umpan buah duku memang digemari spesies ikan eksotik seperti itu.
“Ayah sendiri tidak menyangka ikan kelah yang berjaya dipancing kerana niat ayah hanya ingin memancing ikan patin dan baung.
“Semua itu kerana rezeki, ayah berjaya memancing ikan yang paling diburu kaki pancing,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Temir, Mohd Asri Mohamad Nor berkata, dia teruja apabila diberitahu mengenai kejayaan Mustafa menaikkan ikan kelah merah dan segera ke sungai berkenaan.
“Terakhir ikan kelah merah seberat 20 kg berjaya dipancing pada 10 tahun lalu.
“Biasanya ikan lain seperti toman, patin, lampan dan baung dinaikkan pemancing di sungai itu.
“Bukan selalu ikan kelah merah yang mempunyai harga pasaran RM150 sekilogram berjaya dipancing di sungai itu dan ia memang rezeki Mustafa,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Oleh: Ahmad Rabiul Zulkifli