Thursday , March 27 2025
Home / Ikan Kelah / Santuari Kelah Di Taman Negara Relau

Santuari Kelah Di Taman Negara Relau

KUALA LIPIS 22 Mac – Mungkin ramai di antara kita yang tidak tahu, selain Kuala Tahan, Taman Negara Pahang (TNP) juga boleh diterokai melalui satu lagi pintu masuk iaitu melalui Sungai Relau yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari pekan kecil Merapoh, Pahang.

TNP Relau mula dibuka kepada umum sejak Ogos tahun 1993 dan dikunjungi ramai terutamanya pada musim puncak iaitu di antara bulan Julai dan Ogos setiap tahun.

Kawasan itu mengandungi kira-kira 14,000 spesies tumbuhan, 200 spesies mamalia, 480 spesies burung serta 80 spesies kelawar mengikut rekod yang diterima setakat ini.

Menurut Timbalan Penguasanya, Zulkifli Mohamed Arop, TNP Relau juga menjalankan program konservasi dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terhadap lima spesies hidupan liar utama iaitu gajah, harimau, tapir, badak dan seladang.

Jelas beliau, pada masa yang sama, TNP Relau kini tersenarai sebagai salah satu daripada 24 rizab hidupan liar di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Kami turut membina terowong bawah tanah bagi memudahkan hidupan liar seperti gajah bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya kini dalam perancangan untuk membina laluan hidupan liar iaitu menyambungkan destinasi di situ dengan Banjaran Titiwangsa untuk membolehkan hidupan-hidupan tersebut membiak.

Dalam kunjungan itu, kami juga dibawa ke salah satu destinasi menarik iaitu ke Santuari Ikan Kelah yang terletak di Sungai Juram.

Perjalanan ke santuari berkenaan menaiki pacuan empat roda sejauh 14 kilometer itu agak mencabar dengan laluan berbukit dan berliku.

Bagaimanapun, mujurlah pemandu kenderaan, Roslan Abdullah, 48, yang juga penjaga Santuari Ikan Kelah cekap dan tidak berhadapan dengan sebarang masalah yang tidak diingini walaupun kenderaan tersebut dipandu agak laju.

Selain berpeluang mengabadikan kenangan bersama ikan-ikan yang mendapat jolokan ‘Raja Sungai’ itu ketika berada di sana, kami juga sempat memberi makan kepada ikan-ikan terbabit dengan bantuan Zulkifli dan Roslan.

Roslan berkata, ikan kelah sangat jinak dengan manusia dan akan berkumpul apabila makanan ditaburkan di permukaan sungai.

“Ikan-ikan ini akan datang apabila loceng dibunyikan kerana ia menandakan waktu makan sudah tiba dan keadaan ini biasanya berlaku di antara pukul dua sehingga empat petang setiap hari,” katanya.

Pengalaman singkat selama tiga hari dua malam di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh tentu sahaja akan ‘berbekas’ di hati masing-masing.

Tahniah kepada pengurusan TNP Sungai Relau dan RA Adventure Travel & Tours di atas inisiatif yang diambil mereka dalam usaha membangkitkan kesedaran orang ramai bagi menghargai keindahan serta kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di Pahang.

About Jamaludin

M. Haffiz Ahmad Adalah Seorang Penternak dan Pembekal Anak Benih Ikan Kelah Di Machang, Kelantan, Menjadikan Domain IkanKelah.com Sebagai Pentas Untuk Berkongsi Info Berita Berkaitan Ikan Kelah dan Akuakultur Di Malaysia. Semoga Bermanfaat :)

Check Also

harga-ikan-kelah-merah

Stok Anak Benih Kelah 2023

Assalamualaikum wr wb, danSalam hormat, Warga IkanKelah.com sekalian, Anak benih ikan kelah kami sedia untuk …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *