RATUSAN ribu ikan kelah menanti pengunjung. Mungkin sukar dipercayai dengan jumlah yang terlalu banyak ini.
Namun, ia adalah satu hakikat apabila seseorang itu berkunjung ke santuari kelah di Sungai Petang.
Ikan-ikan kelah itu membiak dengan banyak di sungai berkenaan dan ia dikawal rapi dari sebarang aktiviti pencerobohan seperti memancing dan sebagainya.
Sepanjang tiga kilometer di sebahagian daripada Sungai Petang itu, kawasan berkenaan telah digazetkan sebagai santuari kelah oleh kerajaan negeri Terengganu.
Keunikan Sungai Petang itu sebenarnya telah mengubah wajah Tasik Kenyir yang memang terkenal sebagai kawasan pelancongan sepanjang tahun.
Apabila berkunjung ke santuari kelah, pasti seseorang akan terkejut dan kagum dengan panorama di situ.
Kalau setakat mendengar cerita dari mulut ke mulut, ia belum memadai. Sebaliknya perlu melihat sendiri keunikan santuari tersebut.
Ini kerana ratusan ribu ikan kelah seolah-olah menanti setiap pengunjung yang datang.
Sebaik sahaja berada dalam air di santuari tersebut, ikan-ikan kelah berkenaan akan terus berkerumun mengelilingi pengunjung.
Spesies ikan tersebut seolah-olah tahu pengunjung akan memberi mereka makan.
Bagi pengunjung yang tidak biasa dikerumuni ikan-ikan, mungkin merasa agak janggal, namun perasaan itu hanya seketika.
Sebaliknya, perasaan kagum dan seronok akan menyelubungi pengunjung selepas beberapa minit berada di dalam air.
Dengan menabur palet makanan ikan, ikan-ikan kelah berkenaan akan berebut-rebut untuk memakannya.
Pada masa inilah pengunjung berkesempatan untuk memegang ikan-ikan tersebut.
Malah, pengunjung juga boleh meletakkan palet di sebelah tangan kiri dan memegang ikan di sebelah tangan kanan sambil menyuapkan makanan tersebut pada ikan yang dipegang.
Sukar dipercayai, walaupun sedang dipegang, ikan-ikan itu masih terus memakan palet-palet yang diletakkan di atas tangan.
Jika sebelum ini ramai kalangan kita hanya berkesempatan memegang ikan, tapi di santuari ini satu lagi aktiviti menyeronokkan ialah mencium ikan-ikan tersebut.
Pengunjung boleh mencium ikan-ikan berkenaan secara lembut dan tanpa sebarang masalah.
Inilah pengalaman yang boleh dirasai apabila seseorang itu berkunjung ke santuari kelah di Sungai Petang, Tasik Kenyir.
Ikan-ikan kelah berkenaan walaupun hidup secara liar dalam habitat semulajadinya, namun ia tetap jinak kepada para pengunjung.
Apabila dipegang, ikan-ikan berkenaan memberikan tindak balas yang lembut.
Walaupun badan ikan kelah itu licin, namun pengunjung masih boleh memegangnya dan ia satu pengalaman yang amat menyeronokkan.
Bermandi-manda sambil memberi makan ikan kelah suatu kemestian jika pengunjung mahu melalui pengalaman unik di Tasik Kenyir.
Dengan air yang jernih dan bersih, Sungai Petang pasti tidak mengecewakan para pelancong yang mengunjunginya termasuk untuk mandi-manda.
Sehubungan itu, tidak hairanlah santuari kelah di Sungai Petang sesuai dijadikan lokasi untuk kegiatan kaji selidik dan pembangunan dan penyelidikan (R&D).
Beberapa agensi dan universiti dikatakan berminat untuk menjalankan penyelidikan mengenai kelah serta flora dan fauna yang terdapat di sekitar Sungai Petang.
Selain Sungai Petang, beberapa sungai yang terdapat di sekitar Tasik Kenyir juga didapati sesuai untuk hidupan spesies ikan lain seperti toman, tilapia dan beberapa spesies lain.
Ini diakui sendiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang mengenai keunikan yang terdapat di santuari kelah.
Menurut beliau, sungai-sungai lain di Tasik Kenyir juga kaya dengan pelbagai spesies ikan dan sesuai untuk aktiviti memancing.
Mengenai santuari kelah, beliau berpandangan, ia bukan sahaja menjadi daya tarikan pelancong, malah dapat meningkatkan ilmu pengetahuan orang ramai apabila mengunjungi santuari berkenaan.
Ini kerana, pengunjung boleh mempelajari mengenai spesies kelah yang dapat membiak dengan banyak disebabkan faktor-faktor semulajadi di situ.
Berada di santuari kelah adalah sebahagian daripada keunikan ketika melancong di Tasik Kenyir.
Tasik seluas negeri Melaka itu turut mempunyai lokasi-lokasi lain yang dapat menarik kehadiran pelancong.
Ini kerana Tasik kenyir turut menyajikan keunikan dan keindahan lain apabila berkunjung ke sini.
Gua Bewah – tempat penemuan rangka manusia beribu tahun, pulau tropika, pulau burung, pulau orkid dan banyak lagi. Semua ini menjadi daya tarikan pengunjung apabila berkunjung ke Tasik Kenyir.
Rangka manusia yang ditemui di Gua Bewah telah meletakkan Tasik Kenyir antara lokasi bersejarah bukan sahaja kepada negara, malah di mata dunia.
Di samping itu, memandangkan banyak lokasi menarik dan pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Tasik Kenyir, tidak hairanlah untuk melihat keseluruhan kawasan tasik ini, ia mengambil masa agak lama.
Dengan menaiki bot laju sahaja, seseorang itu memerlukan empat hingga lima hari untuk melawat sebahagian besar tempat-tempat menarik.
Malah, pengunjung juga perlu membuat persiapan awal terutama dari segi bekalan minyak diesel dan petrol bagi kegunaan bot kerana tasik ini amat luas.
Bagi mereka yang gemar bersantai menggunakan houseboat, masa lebih seminggu diperlukan untuk meneroka kawasan-kawasan menarik di Tasik Kenyir.
Kerana keunikan dimiliki Tasik Kenyir inilah menjadikan ia sebagai destinasi menarik untuk kaki pancing.
Namun, mereka yang ingin ‘berjuang’ mendapatkan ikan-ikan dari tasik ini harus mengetahui petua-petua memancing.
Petua-petua tersebut adalah dari segi umpan.
Memancing di Tasik Kenyir apa berlainan memancing di sungai-sungai lain atau laut.
Di sini, pengunjung memerlukan umpan-umpan tertentu seperti buah-buah kelapa sawit yang diperam bersama bahan-bahan tertentu, umpan anak ikan hidup, palet dan sebagainya.
Sementara itu, Tengku Putera berkata, beberapa projek pelancongan yang mampu menjadi daya tarikan ramai kini dalam proses untuk disiapkan di Tasik Kenyir.
”Ini termasuk mewujudkan pulau burung di mana pelbagai spesies burung boleh didapati di sini.
”Pulau burung ini berkonsepkan langit terbuka tanpa ada jaring atau bumbung. Namun, burung-burung ini tidak akan terbang jauh sebaliknya pengunjung berpeluang memberi makan burung-burung ini,” katanya.
Begitu juga dengan pulau tropika di mana pelbagai spesies pokok buah-buahan yang hampir pupus sedang giat ditanam di pulau ini.
Ini termasuk pokok ceri Terengganu dan beberapa pokok lain yang sukar diperolehi di tempat lain.
Di samping itu, satu lagi daya tarikan di Tasik Kenyir ialah projek ternakan ikan dalam sangkar.
Pengunjung bukan sahaja berkesempatan untuk melawat tempat-tempat ini, malah belajar dan menimba ilmu dari cara ikan-ikan itu dibiak.
Dengan pakej yang disajikan di Tasik Kenyir, pengunjung pasti tidak mudah kecewa dengan tempat-tempat yang dilawati.
Malah, pembangunan di tasik ini dilihat masih diteruskan termasuk ia bakal memiliki pengangkutan kereta kabel untuk pengunjung melawat pulau-pulau tertentu.