Tuesday , September 26 2017

Tubuh Pusat Penyelidikan Ikan Kelah

HULU TERENGGANU 29 Julai – Kepelbagaian sumber alam dan ekosistem Tasik Kenyir di sini merupakan sumber tidak ternilai dan perlu diuruskan secara mampan supaya memberi manfaat berterusan.

Atas alasan itu, kerajaan negeri Terengganu melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengambil inisiatif dengan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menubuhkan sebuah pusat penyelidikan di tasik buatan manusia tersebut.

Pusat penyelidikan tersebut akan bertindak sebagai sebuah pusat pengumpulan data saintifik bagi flora, fauna dalam ekosistem perairan dan kawasan persekitaran tasik seluas 38,000 hektar tersebut.

Ia juga akan membantu mempelbagaikan hidupan ikan di tasik buatan manusia di Hulu Terengganu itu.

Kepelbagaian ikan yang hidup di tasik berkenaan turut menarik ‘kaki pancing’ untuk melakukan aktiviti rekreasi berkenaan di sana.

Selain itu, tasik tersebut turut menempatkan Santuari Kelah di Sungai Petang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pusat penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu akan dibangunkan di sebuah kawasan seluas 20 hektar di kawasan teluk tasik berkenaan.

‘‘Pusat penyelidikan ini akan bertindak sebagai pusat pengumpulan data santifik flora dan fauna, ekosistem perairan dan kawasan persekitaran tasik sekali gus menjadikan Tasik Kenyir sebagai makmal lapangan untuk penyelidikan dalam bidang akuakultur, tumbuhan, haiwan, tanah dan airnya.

‘‘Ia juga akan membantu kita menambah kepelbagaian hidupan ikan yang bersesuaian di Tasik Kenyir dan menjadikan ia sebagai syurga pemancing pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Penyelidikan Tasik Kenyir UMT hari ini yang turut dihadiri Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman.

Ahmad berkata, antara spesis ikan yang akan diperbanyakkan termasuk ikan lampam dan kelah.

Dalam pada itu, Aziz berkata, maklumat hasil penyelidikan di pusat itu juga boleh menyokong usaha Ketengah menjadi Tasik Kenyir sebagai pusat pelancongan pendidikan untuk ekosistem hutan tropika.

‘‘Saya berharap maklumat dan penyelidikan UMT ini akan membantu memantapkan usaha Ketengah untuk memelihara kawasan Tasik Kenyir dan persekitaran,” ujarnya.

Beliau memberiahu, pusat penyelidikan tersebut dijangka dimulakan pada awal tahun depan dengan pembinaan fasa pertama itu akan memerlukan peruntukan kira-kira RM5 juta.

Beliau menambah, ia akan dilengkapkan dengan makmal untuk pengajian sosioekonomi bagi masyarakat setempat dan orang asli, makmal sains akuatik serta makmal biodiversiti tumbuhan dan biodiversiti.

‘‘Pelbagai infrastruktur lain juga akan dibina seperti kemudahan penginapan. tapak perkhemahan, kemudahan utiliti, jeti dan tempat simpanan bot, surau dan tempat simpanan minyak,” ujarnya.

Aziz memberitahu, sebuah bangunan pembenihan dan kemudahan kolam serta tapak semaian akan dibina di Sungai Petang, Tasik Kenyir,

‘‘Ia dibina untuk menyokong kajian pengeluaran benih ikan kelah serta ikan air tawar lain dan pembiak bakaan tanaman dan buah-buahan nadir,” ujarnya.

Katanya, dengan wujudnya pusat penyelidikan itu, ia akan berperanan menghasilkan benih-benih ikan dan tumbuhan yang diancam kepupusan seperti ikan kelah.

‘‘Ini secara tidak langsung membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan program pemeliharaan dan pemuliharaan sumber semulajadi,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kepelbagaian hidupan di darat di tasik berkenaan juga akan dijadikan sebagai kawasan penyelidikan untuk para pelajar universiti berkenaan.

‘‘Pusat penyelidikan ini akan menjadi tempat latihan amali dan pengajaran kepada pelajar UMT yang mengikuti bidang pengajian perikanan, akukultur, biodiversiti, agroteknologi dan pengurusan,” katanya.

About J. Maideen

J. Maideen atau J. Kelah Adalah Seorang Penternak dan Pembekal Anak Benih Ikan Kelah Di Machang, Kelantan, Menjadikan Domain IkanKelah.com Sebagai Pentas Untuk Berkongsi Info Berita Berkaitan Ikan Kelah dan Akuakultur Di Malaysia. Semoga Bermanfaat :)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*