Sunday , August 20 2017

Sumber Ikan Dunia Habis 2048

Gambar Hiasan

Semua sumber hasil laut dunia termasuk ikan dijangka kehabisan menjelang 2048 jika kawasan terumbu karang yang menjadi tempat hidupan marin membiak tidak dipelihara.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia, Kamarruddin Ibrahim berkata, data saintifik menunjukkan 25 peratus sumber ikan laut negara datang dari kawasan-kawasan terumbu karang.

Bagaimanapun, katanya, kajian oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FOA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan sumber perikanan laut dunia akan kehabisan menjelang 2048.

?Berdasarkan kajian itu, kerajaan melalui Jabatan Taman Laut Malaysia berusaha melindungi dan memulihara kawasan-kawasan terumbu karang negara.

?Sumber ikan dari kawasan ini akan menyumbang dan menyokong industri perikanan laut negara seterusnya membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk tempatan khususnya nelayan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penenggelaman Tukun Bot Ronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pulau Perhentian di sini baru-baru ini.

Upacara penenggelaman bot PC40 milik Pasukan Polis Marin (PPM) untuk dijadikan tukun kepada Jabatan Taman Laut Malaysia itu disempurnakan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Saleh Mat Rashid.

Menurut Kamarruddin, kawasan terumbu karang juga menyediakan tempat menarik untuk orang ramai berehat dan berekreasi, sekali gus menyokong industri pelancongan negara.

?Terdapat 500,000 pelancong dari dalam dan luar negara melawat pulau-pulau yang diwartakan di bawah Taman Laut Malaysia pada setiap tahun dan Pulau Perhentian sahaja menerima kehadiran 90,000 pelawat pada tahun lalu,” katanya.

Kamarruddin bagaimanapun berkata, terdapat pelbagai ancaman ke atas ekosistem terumbu karang termasuk ancaman dikaitkan dengan aktiviti manusia seperti menangkap ikan secara haram dan pencemaran sampah, sisa kumbahan, basuhan domestik serta nutrien.

Beliau berkata, terumbu karang juga terancam dengan aktiviti pembangunan tidak terkawal dan perbuatan melabuhkan sauh di kawasan berkenaan.

Selain itu, katanya, kawasan habitat marin itu turut terancam dengan faktor alam semulajadi seperti kelunturan karang akibat kenaikan suhu air laut, penyakit, serangan tapak sulaiman dan ombak besar.

Sumber: Utusan.com.my

About J. Maideen

J. Maideen atau J. Kelah Adalah Seorang Penternak dan Pembekal Anak Benih Ikan Kelah Di Machang, Kelantan, Menjadikan Domain IkanKelah.com Sebagai Pentas Untuk Berkongsi Info Berita Berkaitan Ikan Kelah dan Akuakultur Di Malaysia. Semoga Bermanfaat :)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*