Thursday , December 14 2017

Sistem Tagal Atasi Kepupusan Kelah

Yahya Hussin (depan, dua dari kanan) melepaskan ikan kelah di Sungai Pasia sebagai simbolik perasmian tagal Long Pasia di Sipitang, baru-baru ini.

SIPITANG 3 Okt. – “Dulu ikan kelah di sini memang banyak seperti melihat daun kelapa di dalam air,” kata Pengiran Selutan, 39, yang merupakan anak jati Kampung Long Pasia, dekat sini.

Katanya, kekayaan spesies ikan kelah di sungai yang menjadi pertemuan antara Sabah, Sarawak dan Indonesia itu menyebabkan spesies tersebut mendominasi sungai dan amat senang ditangkap.

Begitulah keindahan dan kekayaan alam semulajadi yang terdapat di Kampung Long Pasia, kira-kira 123 kilometer dari Pekan Sipitang.

Namun ‘limpahan’ ikan kelah itu berlaku lebih 10 tahun lalu, hakikatnya kini meskipun terdapat ikan kelah tetapi jumlahnya tidaklah banyak seperti dahulu.

Menyedari hakikat itu, kerajaan negeri menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menggerakkan usaha untuk melaksanakan sistem tagal di Sungai Long Pasia dan Sungai Long Mio di sini.

Pelaksanaan sistem tagal di situ sebenarnya telah melengkapkan sistem tagal di negeri ini iaitu meliputi kawasan sungai, laut dan pedalaman di Long Pasia.

Timbalan Pengarah Perikanan negeri, Jeprin Wong berkata, meskipun kawasan Long Pasia dan Long Mio terletak di pedalaman dan spesies kelah di kawasan itu kurang terancam, langkah mewujudkan sistem tagal itu penting bagi memastikan kelangsungan ikan tersebut pada masa depan.

Katanya, sistem tagal itu akan dilaksanakan di lima kampung yang terletak di tebing Sungai Ulu Padas dan Sungai Meligan di sini.

“Penubuhan sistem tagal Sungai Ulu Padas dan Sungai Meligan di Kampung Long Pasia, Long Mio, Meligan, Rundulang dan Ulu Bole adalah tagal pertama di daerah Sipitang ini.

“Pewujudan sistem tagal di lima kampung ini adalah disebabkan masalah yang dihadapi oleh nelayan sungai kerana populasi ikan kelah serta spesies hidupan sungai kian merosot disebabkan oleh tangkapan berlebihan, penggunaan peralatan yang diharamkan dan pencemaran sungai,” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Jeprin berkata, cara pelaksanaan sistem ini ialah di mana semua penduduk terlibat bertanggungjawab untuk memantau dan menjaga kawasan tagal daripada tangkapan berlebihan, penggunaan peralatan diharamkan dan aktiviti mencemarkan sungai seperti membuang sampah-sarap.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin (tengah) bersama penduduk Long Mio selepas merasmikan program tagal di Long Mio, dekat Sipitang, Sabah.

Katanya, antara peralatan yang dilarang sama sekali ialah bom ikan, tuba, racun rumput, pukat mata saiz kurang dua inci dan jala bersaiz kurang satu inci setengah.

Katanya, kawasan tagal juga akan dibahagi kepada beberapa zon iaitu zon merah yang secara automatik dilarang menangkap ikan sepanjang masa.

“Bagi zon kuning pula penangkapan ikan hanya pada waktu yang ditetapkan dan zon hijau dibenarkan sepanjang tahun mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Ahli Jawatankuasa Tagal.

Ikan kelah kurang enam inci (15 sentimeter) panjang atau 300 gram pula hendaklah dilepaskan kembali ke sungai tagal,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Kampung Long Pasia, Mudin Sia berkata, semua 600 penduduk di kampung itu telah menyatakan persetujuan untuk melaksanakan sistem tagal berkenaan demi faedah bersama.

“Langkah ini dibuat selepas semua penduduk menyedari ikan kelah semakin berkurangan dari sehari ke sehari,” katanya.

Seorang penduduk, Gadung Mulung, 40, berkata, dia dan kaum wanita lain di kampung itu akan terus bekerjasama bagi memastikan sistem tagal tersebut berjaya dilaksanakan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Tagal, Long Pasia, Lucas Usin berkata, dalam memastikan keberkesanan sistem itu pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan bagi membina enam pondok tetap di lubuk-lubuk ikan yang telah dikenal pasti.

“Selain itu kami berharap diberi empat enjin sangkut untuk kami menjalankan rondaan di kawasan berkenaan,” ujarnya.

About J. Maideen

J. Maideen atau J. Kelah Adalah Seorang Penternak dan Pembekal Anak Benih Ikan Kelah Di Machang, Kelantan, Menjadikan Domain IkanKelah.com Sebagai Pentas Untuk Berkongsi Info Berita Berkaitan Ikan Kelah dan Akuakultur Di Malaysia. Semoga Bermanfaat :)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*