Sunday , August 20 2017

Projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar Hasilkan 30 Tan Ikan

Sumber Gambar: http://teganuku.blogspot.com

HULU TERENGGANU 24 Jun – Projek ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir di sini dijangka mampu mengeluarkan lebih 30 tan hasil ternakan apabila fasa ketiga projek itu siap dibina.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat berkata, pembinaan fasa ketiga yang kini sedang berjalan itu akan menyaksikan penambahan kira-kira 4,000 sangkar ternakan ikan.

Menurut beliau, ketika ini, sebanyak 2,200 sangkar ikan digunakan untuk menternak ikan tilapia merah, siakap dan patin.

Katanya, fasa ketiga projek itu dijangka siap dalam tempoh terdekat ini.

”Dengan siapnya fasa ketiga projek ini, kita akan mampu mengeksport ikan ke pasaran luar negara terutama di negara Eropah.

Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. (TADC) akan menguruskan pemasaran dan pelabelan untuk pasaran dalam bentuk ikan segar, hirisan dan nugget,” katanya.

Beliau menambah, apabila sangkar itu siap nanti, 200 sangkar akan dijadikan sebagai tempat nurseri benih ikan manakala selebihnya akan menjadi tempat penternakan.

”Penambahan sangkar itu juga akan menyaksikan pembiakan lebih sejuta benih ikan di Sungai Como,” tambahnya.

Rozi memberitahu, di bawah fasa ketiga itu juga akan menyaksikan penambahan beberapa infrastruktur asas di tapak projek di Sungai Como.

”Antara infrastruktur yang akan dibina ialah surau dan tandas di sebuah pulau kecil seluas satu hektar.

”Tempat tinggal peserta juga akan ditambah yang sejajar peningkatan jumlah peserta ekoran penambahan jumlah sangkar,” jelasnya.

Sumber berita: Utusan.com.my

About J. Maideen

J. Maideen atau J. Kelah Adalah Seorang Penternak dan Pembekal Anak Benih Ikan Kelah Di Machang, Kelantan, Menjadikan Domain IkanKelah.com Sebagai Pentas Untuk Berkongsi Info Berita Berkaitan Ikan Kelah dan Akuakultur Di Malaysia. Semoga Bermanfaat :)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*