Wednesday , June 28 2017

PROJEK TERNAKAN IKAN AIR TAWAR

Gambar Hiasan Kolam Ternakan Ikan Air Tawar

Gambar Hiasan Kolam Ternakan Ikan Air Tawar

NELAYAN DIGALAK SERTAI PROJEK TERNAKAN IKAN AIR TAWAR SEBAGAI SUMBER PENDAPATAN KEDUA

SETIU, 14 Feb (Bernama) — Nelayan di negara ini digalak menyertai projek ternakan ikan air tawar sebagai sumber pendapatan kedua selain menangkap ikan di laut, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar. Langkah itu juga, katanya bertujuan meningkatkan pengeluaran ikan dalam negara yang sekaligus akan mengurangkan kebergantungan kepada ikan import.

“Sudah banyak bukti kejayaan nelayan yang dulunya hanya berpendapatan RM400 hingga RM500 kini mampu meraih sehingga RM2,000 setiap bulan hasil ternakan ikan air tawar ini.

“Kementerian akan melancarkan buku khas mengenai kejayaan golongan ini yang dibantu kerajaan dalam skim khas Azam Tani dalam masa terdekat sebagai motivasi kepada nelayan lain mengikut jejak langkah sama,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup bulanan kepada 389 nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.

Beliau berkata ramai nelayan masih keliru dengan konsep ternakan ikan air tawar secara konvensional iaitu membuat kolam khas bagi tujuan itu, sedangkan perkembangan teknologi pada masa ini membolehkan projek itu berjalan di dalam bangunan dan dalam tangki biasa sahaja.

Bagi tujuan menggalakkan nelayan menyertai projek ternakan air tawar itu, Noh berkata kerajaan mewajibkan semua asrama di bawah Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan menyediakan satu menu ikan air tawar sekurang-kurangnya sekali seminggu.

“Tiga jenis ikan itu ialah keli, patin dan talapia. Malah kerajaan juga menjalankan ”Kempen Makan Air Tawar” untuk segenap lapisan masyarakat bagi memastikan pasaran ikan air tawar sentiasa mendapat permintaan tinggi, sekaligus menjana pendapatan kepada pengusaha industri itu,” katanya.

Beliau berkata masalah kekurangan ikan laut di pasaran semakin kritikal apabila tiba musim perayaan tertentu seperti Tahun Baharu Cina kerana nelayan Cina tidak ke laut dan nelayan di pantai timur pula terhalang akibat cuaca masih tidak menentu.

“Ketika inilah diharap, pengeluaran ikan air tawar mampu menampung permintaan di seluruh negara kerana orang ramai tidak mahu ikan sejuk beku yang diimport dan hanya mahukan ikan segar, sama ada dari laut atau ikan air tawar,” katanya.

— BERNAMA

About J. Maideen

J. Maideen atau J. Kelah Adalah Seorang Penternak dan Pembekal Anak Benih Ikan Kelah Di Machang, Kelantan, Menjadikan Domain IkanKelah.com Sebagai Pentas Untuk Berkongsi Info Berita Berkaitan Ikan Kelah dan Akuakultur Di Malaysia. Semoga Bermanfaat :)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*