Tuesday , March 19 2024
Home / Ikan Kelah / Pengalaman Bermanja Dengan Kelah “Raja Air Tawar”

Pengalaman Bermanja Dengan Kelah “Raja Air Tawar”

KELAH (Tor tambroides) yang banyak hidup di hulu-hulu sungai dikenali sebagai ikan yang sangat pemalu dan sentiasa menjauhkan diri daripada manusia. Di kalangan pemancing, ikan itu diburu kerana kesukaran untuk menewaskannya.

Kelicikannya memperdayakan pemancing walaupun setelah umpat diragut sering kali menimbukan rasa geram dan mencetuskan semangat pemacing terus mencuba menewaskan spesies yang mendapat jolokan Raja Air Tawar itu. Sesuai dengan gelarannya, Raja Air Tawar yang hidup liar di hulu-hulu sungai amat sukar untuk dilihat, apatah lagi dipegang dan diajak bermain. Tetapi tidak di Kampung Luanti Baru, Ranau. Di situ ada kelah liar termasuk sepanjang lengan dewasa. Menariknya spesies itu bukan sahaja mudah dilihat tetapi boleh dipegang dan diajak bermain.

Lebih menakjubkan, kelah yang hidup liar di tiga lubuk di Sungai Morali berkenaan boleh mengurut badan.

Dengan bayaran RM5, sesiapa sahaja boleh mengalami pengalaman yang menyeronokkan membiarkan kaki diurut ikan pemalu itu. Lebih mengujakan apabila lampam sungai dan buntel turut menyertai sesi mengurut.

Menariknya ketiga-tiga ikan itu mempunyai peranan masing-masing dalam mengusik dan mengurut pengunjung. Ikan kelah akan mengurut di bahagian badan, lampam sungai bahagian belakang dan buntel pakar mengurut kaki dan tapak kaki.

Namun awas bagi mereka yang tidak tahan geli pasti cepat mengalah dengan usikan ikan-ikan berkenaan.

Jika ingin menikmati urutan seluruh badan, pengunjung hanya perlu menambah RM5. Selepas itu berendam dan membiarkan diri dimanjakan oleh kelah dan rakan-rakannya selama 15 minit.

Pusat pelancongan dikenali sebagai Tagal Sungai Morali yang diuruskan oleh jawatankuasa penduduk Kampung Launti Baru itu terletak kira-kira 160 kilometer dari Kota Kinabalu atau dua jam berkereta.

Menurut Pengerusi jawatankuasa, Jeffryn Majanki @ Muhammad Mazli, kelah di tiga lubuk yang dikenali lubuk Polan, Jambatan dan Tadon itu bukan kelah yang diternak tetapi hidup liar di sungai berkenaan. Bagaimanapun, katanya, kelah berkenaan sudah dijinakkan menggunakan teknik khusus yang mengambil masa selama dua tahun.

Hasilnya kelah berkenaan bukan sahaja jinak tetapi manja sehinggakan tidak mahu meninggalkan habitat berkenaan.

‘‘Setiap tahun pasti ada banjir besar yang membawa bersama ikan berkenaan tetapi apabila banjir reda, kelah akan kembali ke lubuk masing-masing.

‘‘Satu lagi keistimewaan kelah-kelah tersebut tidak beralih ke lubuk lain,” katanya.

Pemuda berketurunan Kadazandusun itu bagaimanapun keberatan berkongsi teknik menjinak kelah yang disifatkan sebagai rahsia peribadi.

Menurutnya, ada beberapa peraturan perlu diikuti bagi memastikan kesan maksimum urutan.

‘‘Yang paling utama jangan bising, berlari dan melakukan apa sahaja aktiviti agresif yang boleh menakutkan ikan-ikan,” katannya.

pengunjung

Dalam pada itu, pengunjung yang berhasrat bermain dengan kelah tidak perlu bimbang kerana mereka tidak perlu melalui jalan balak ataupun tanah merah untuk sampai ke Tagal Sungai Morali.

Pusat itu terletak di tepi jalan utama Kota Kinabalu-Sandakan. Lebih tepat bersebelahan Ladang Teh Sabah atau kira-kira 25 kilometer dari Taman Kinabalu yang terletak di kaki Gunung Kinabalu itu.

Pengunjung boleh memilih untuk melakukan perjalanan sehari yang merangkumi Taman Kinabalu dan pusat kelah atau bermalam di hotel bajet yang di Kundasang dan melawat pelbagai lagi tempat pelancongan menarik di Ranau seperti Kolam Air Panas Poring. Pengunjung juga boleh memilih untuk tinggal di Tagal Sungai Morali yang turut menyediakan bilik penginapan antara RM50 dan RM80 semalam.

Selain kelah, pusat berkenaan yang dilengkapi kemudahan anjung rehat serta kolam mandi yang masih dalam pembinaan turut menawarkan aktiviti lain seperti jungle tracking dan water rafting, mendaki jambatan gantung.

Bercerita mengenai manfaat urutan berkanaan, Jeffrin menambah, secara umum urutan ikan tersebut berupaya melegakan badan dan menghilangkan tekanan. ‘‘Dari sudut saintifik saya tidak mengetahui manfaatnya cuma berdasarkan pengalaman, tempat ini popular di kalangan pelancong Cina. Mereka percaya urutan ikan tersebut mampu menyembuhkan penyakit.

‘‘Pernah berlaku, hari ini datang menggunakan tongkat tetapi esok kembali tanpa menggunaka tongkat dan mahu melakukan terapi bersama kelah dan ikan-ikan itu.

‘‘Walaupun bayaran hanya RM5, ada yang secara sukarela membayar sehingga RM100 untuk satu sesi kerana mereka percaya ia boleh membawa perubahan,” katanya.

Mengenai pusat pelancongan itu, Jeffryn memberitahu, semuanya bermula atas kesedaran untuk memulihkan semula sungai kampung berkenaan yang tercemar akibat aktiviti manusia. ‘‘Usaha memulih sungai bermula lewat 1990 dan mencapai kemuncak apabila diberikan status tagal oleh Mahkamah Anak Negeri pada 2002. ‘‘Dengan status itu, semua perbuatan yang boleh merosakkan sungai dan hidupannya ditegah. Mereka yang melanggar peraturan berkenaan akan dihukum,” katanya.

Menurutnya, langkah itu membolehkan hidupan sungai hidup semakin bertambah dari sehari ke sehari sehingga ia dikomersialkan pada 2008 selepas mendapat sambutan dari pengunjung.

Selain menawarkan pekerjaan tetap kepada 22 penduduk kampung berkenaan, keuntungan pusat itu digunakan untuk membayar bil elektrik bangunan awam di kampung berkenaan seperti masjid dan dewan, menganjurkan majlis keramaian kampung, membiayai yuran persekolahan semua murid kampung berkenaan, dan menyediakan skim pinjaman awal kepada dua pelajar yang melanjut pengajian ke universiti baru-baru ini.

Jeffryn bercadang membuka dua lagi lubuk sebagai tambahan kepada tiga lubuk sedia ada.

About M. Haffiz Ahmad

M. Haffiz Ahmad Adalah Seorang Penternak dan Pembekal Anak Benih Ikan Kelah Di Machang, Kelantan, Menjadikan Domain IkanKelah.com Sebagai Pentas Untuk Berkongsi Info Berita Berkaitan Ikan Kelah dan Akuakultur Di Malaysia. Semoga Bermanfaat :)

Check Also

harga-kelah-pasaran-tempatan

Harga Ikan RM1,400 Seekor

KOTA BHARU – Kelah atau mahseer dari dalam keluarga Cyprinidae merupakan antara spesies ikan bernilai …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *