Tuesday , March 19 2024
Home / Usahawan Akuakultur / Jutawan NCER

Jutawan NCER

Jutawan NCER Kejayaan Projek pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)

Ipoh: Projek pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dilaksanakan kerajaan membabitkan daerah utara Perak ternyata memberi faedah besar kepada usahawan tempatan apabila ramai di antara mereka kini sudah boleh digelar jutawan.

Bantuan diberikan kerajaan bertujuan meningkatkan taraf kehidupan penduduk selain mencapai wawasan ekonomi bertaraf dunia menjelang 2025 berjaya meningkatkan pelaburan dan pembangunan terutama di kawasan luar bandar.

Salah seorang daripada usahawan yang menerima bantuan menerusi NCER, Hasamudin Ami, 45, berkata, syarikat Ace Front Industries Sendirian Berhad miliknya kini berkembang pesat hasil bantuan kerajaan dalam bentuk khidmat nasihat dan dana kewangan.

Menurutnya, syarikatnya yang mula beroperasi sekitar 2010 di Kamunting , Taiping, kini semakin berkembang maju dalam industri pemprosesan ikan air tawar, laut dan udang.

“Hasil makanan laut ini diproses dalam bentuk sejuk beku, tempura dan salai sebelum diedar di dalam negara selain turut dieksport.

“Sokongan diberikan pihak kerajaan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) banyak membantu dalam merealisasikan usaha saya untuk menjadi usahawan berjaya,” katanya.

Malah, syarikatnya kini mengorak langkah lebih maju apabila berjaya membuka ternakan kolam ikan dan udang putih di Sungai Trang, Taiping membabitkan kawasan seluas 70 hektar.

‘’Kilang pemprosesan kami mempunyai kemudahan bertaraf dunia bagi memastikan hasil keluaran syarikat dikekalkan kebersihan, kesegaran dan keasliannya.

“Saya tidak mungkin mencapai kejayaan yang dikecapi ini tanpa bantuan dan sokongan penuh dari pihak kerajaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi usahawan tempatan, T Savigaran, 36, menyifatkan kejayaan syarikat Pengurusan Maskita Sendirian Berhad (PMSB) miliknya bertitik tolak daripada bantuan dana kerajaan menerusi NCIA sebanyak RM5.8 juta.

Menurutnya, syarikatnya yang menjalankan ternakan ayam mendapat pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sebagai pusat latihan rasmi bagi penternakan ayam di bawah Skim Latihan Dual Nasional (SLDN).

“PMSB diiktiraf sebagai pusat latihan penternakan yang pertama ditubuhkan di NCER. Perniagaan dan syarikat saya kini semakin berkembang maju dan saya yakin usaha kerajaan menerusi NCER ini mampu menghasilkan lebih ramai usahawan berjaya,” katanya.

About M. Haffiz Ahmad

M. Haffiz Ahmad Adalah Seorang Penternak dan Pembekal Anak Benih Ikan Kelah Di Machang, Kelantan, Menjadikan Domain IkanKelah.com Sebagai Pentas Untuk Berkongsi Info Berita Berkaitan Ikan Kelah dan Akuakultur Di Malaysia. Semoga Bermanfaat :)

Check Also

Ternak Siakap Dalam Sangkar Bawa Keuntungan

BERMASTAUTIN berhampiran Sungai Kakap, Pekan, Pahang menjadikan Raja Zainuddin Raja Omar tidak ‘segan’ dengan hidupan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *