Friday , April 19 2024
Home / Udang / Ingin Tahu Potensi Ternak Udang Galah @ Macrobrachium Rosenbergii?

Ingin Tahu Potensi Ternak Udang Galah @ Macrobrachium Rosenbergii?

Mohd. Sukle Abd. Rahman (dua dari kiri) menunjukkan hasil udang galah yang dituai pada program menuai udang galah dalam Projek Kawasan Tumpuan Pembangunan Pertanian (ACDA) di Kampung Mertang, Kuala Pilah.

Jika disebut nama Macrobrachium rosenbergii sudah pasti ramai yang menggaru kepala dan tidak kurang juga yang terpinga-pinga.

Tetapi jika nama saintifik itu dialih pada gelaran yang lebih mudah iaitu udang galah, ramai yang akan tersenyum serta membayangkan keenakannya terutama apabila dimasak lemak cili api.

Percaya atau tidak, industri penternakan udang galah di kawasan air tawar kini menjadi begitu popular dan berdasarkan harga pasaran mengikut gred sekilogram udang galah boleh dijual pada harga RM40 ketika ini.

Permintaan untuk udang galah hari ini juga semakin tinggi dan dengan keluasan kolam 0.2 hektar pengusahanya mampu menghasilkan udang berkenaan sekitar 300 kilogram bagi satu pusingan, malah ada penternak yang berupaya menghasilkan udang sehingga 700 kilogram bagi satu musim dengan teknik pengurusan yang lebih baik.

Seorang penternak udang galah yang semakin berjaya, Mohd. Sukle Abd. Rahman 34, berkata, sejak terlibat dalam industri itu pada 2007, dia telah pun berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM30,000 untuk sekali tuaian.

Melalui syarikat Atih Aquaculture Enterprise, dia kini mengusahakan sebanyak tujuh kolam di Kampung Mertang dekat sini dan pada enam bulan pertama tahun lalu, dia telah pun berjaya menuai sebanyak 380 kilogram udang galah untuk pasaran tempatan dan Singapura.

”Sebelum terlibat dalam penternakan udang galah ini, saya merupakan tenaga pengajar Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) di beberapa institut memandu di Johor dan Kuala Lumpur.

”Saya melihat potensi menternak udang galah ini cerah selepas bersama-sama seorang rakan kongsi, Izzudin Jizan meneroka tanah terbiar di Kampung Jumbang, Seri Menanti,” ujarnya yang masih bujang di sini baru-baru ini.

Hari ini katanya, dia mempunyai dua pekerja separuh masa yang membantu pengurusan tujuh kolam ternakan udang galah dan berharap dalam tempoh terdekat ini, dia boleh mendapatkan 23 kolam lagi untuk memenuhi permintaan pasaran.

”Kadar tumbesaran udang galah berbeza bergantung pada jantina, baka, mutu dan jumlah makanan serta mutu air dan kadar pelepasan.

”Dalam satu populasi udang, akan terdapat sekurang-kurangnya tiga kumpulan udang yang berbeza saiz iaitu udang besar yang terdiri daripada udang jantan.

”Udang bersaiz sederhana pula terdiri dari udang betina manakala udang kecil terdiri dari udang jantan yang bantut,” jelasnya.

Kata Mohd. Sukle, penjaringan akan dimulakan pada bulan keempat dan diulangi tiga hingga empat minggu sekali sehingga semua udang dikeluarkan dari kolam.

”Kolam kemudian dikeringkan dan rawatan kolam dilakukan.

”Biasanya benih udang galah akan dilepaskan ke dalam kolam mengikut saiznya iaitu di antara 10,000 ekor ke 30,000 ekor. Purata yang hidup cuma 70 peratus mengikut suasana dalam kolam berkenaan,” katanya.

Tambah Mohd. Sukle, udang galah ini juga mempunyai musuh tersendiri seperti ikan pemangsa, serangga air, haiwan darat, burung dan manusia.

Mengenai pengawasan ternakan, kata Mohd. Sukle, dia akan memberi dedak dua kali sehari dan makanan sampingan seperti jagung untuk memastikan udang galah ternakannya bermutu tinggi.

”Mutu air kolam perlu juga sesuai untuk ternakan udang galah dan ancaman air di kolam itu boleh dikesan melalui warna, kelikatan dan akan tingkah-laku organisma.

”Kalau kandungan oksigen rendah, udang galah akan dilihat berada di permukaan air. Untuk mengatasinya, kita perlu menambah air bersih supaya oksigen kembali sebati,” jelasnya.

Mohd. Sukle berkata, dia sedia berkongsi pengalaman menternak udang galah kepada belia dan orang ramai yang berminat kerana potensi industri akuakultur cukup baik.

Usaha itu juga katanya, akan dibantu oleh Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) melalui Projek Kawasan Tumpuan Pembangunan Pertanian (ACDA).

”Saya berterima kasih kepada Pengarah JPNS, Wan Muhammad Aznan Abdullah yang sentiasa turun ke padang, berada dalam kolam dan bersama-sama memberi tunjuk ajar sehingga berjaya menghasilkan udang galah bermutu.

”Harga udang bersaiz besar adalah lebih tinggi berbanding udang kecil. Ada tiga saiz udang galah di pasaran, iaitu besar (A) berukuran 50 gram dan lebih, sedang (B) 25-50g dan kecil (C) bersaiz kurang dari 25g seekor,” katanya.

Katanya, jika ada yang berminat dan mendapatkan maklumat mengenai penternakan udang galah komesial ini, bolehlah menghubunginya di talian 019-2418345 pada bila-bila masa.

Sumber: Utusan.com.my

About M. Haffiz Ahmad

M. Haffiz Ahmad Adalah Seorang Penternak dan Pembekal Anak Benih Ikan Kelah Di Machang, Kelantan, Menjadikan Domain IkanKelah.com Sebagai Pentas Untuk Berkongsi Info Berita Berkaitan Ikan Kelah dan Akuakultur Di Malaysia. Semoga Bermanfaat :)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *