Thursday , December 14 2017

Ikan Kelah Sajian Termahal Di Jerantut Mencecah RM40 Seketul

JERANTUT 3 Jan. – Spesies ikan kelah menjadi kegemaran pemancing kerana saiznya yang besar dan mempunyai keenakan sendiri dalam masakan tertentu.

Pengarah Urusan Syarikat Golden Mahseer Sdn. Bhd., Roslan Abu Kassim, 46, berkata, ikan tersebut yang dikenali ‘Golden Mahseer’ mengambil masa selama tiga tahun untuk besar dan mencapai tahap seberat tiga kilogram.

”Ikan itu boleh mencapai berat sehingga lapan kilogram dan hidup selama 40 tahun bergantung kepada kesesuaian habitat, persekitaran dan makanan.

”Sememangnya, Lubok Tenor dan Melantai Dua merupakan habitat kelah sebelum Taman Negara Kuala Tahan dibuka kerana persekitaran habitat yang sesuai dan banyak makanan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Penduduk Kampung Pagi, Shahradin A. Karim, 44, berkata, ikan tersebut serta spesies air tawar lain ditangkap untuk tujuan komersial memandangkan ia mendapat permintaan tinggi di pasaran luar.

”Kelazatannya setelah dimasak, menjadi punca ikan kelah antara sajian termahal. Kebanyakan restoran di bandar Jerantut, seketul ikan kelah yang sudah dimasak dijual pada harga mencecah RM40,” katanya.

Shahradin berkata, kegiatan menangkap ikan air tawar di Sungai Tembeling kini terkawal bagi mengelak kepupusan dan mereka yang memiliki permit Jabatan Perikanan Pahang sahaja dibenarkan menangkap ikan.

Rakannya, Zainuddin Nong, 43, berkata, spesies ikan itu menjadi buruan penangkap ikan dan kaki pancing di Sungai Tembeling berbanding di tempat lain.

”Konsep tangkap dan lepas di kalangan pelancong memang patut dipuji walaupun tujuan berseronok dan bersantai tetapi pada masa sama dapat memulihara anak-anak ikan air tawar berkenaan daripada pupus,” katanya.

Beliau berkata, pemuliharaan spesies berkenaan di Lubok Tenor, Melantai Dua dan santuari di Sungai Tembeling antara matlamat kerajaan memberi kesedaran mengenai penjagaan habitat akuatik yang menjadi aset pembangunan pelancong di Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling.

About J. Maideen

J. Maideen atau J. Kelah Adalah Seorang Penternak dan Pembekal Anak Benih Ikan Kelah Di Machang, Kelantan, Menjadikan Domain IkanKelah.com Sebagai Pentas Untuk Berkongsi Info Berita Berkaitan Ikan Kelah dan Akuakultur Di Malaysia. Semoga Bermanfaat :)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*