Thursday , December 14 2017

Ikan Kelah Gua Musang

Shukri Mat Husin memberi makanan ikan kelah yang diternaknya dalam gua batu kapur.

Ikan Kelah Gua Musang

Jana pendapatan lumayan buat pemenang Anugerah Belia Negara 2011 Kelantan

USAHA Mohd Saipul Basri Yaacob menternak ikan kelah (tor tambroides) dalam gua batu kapur di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, Kelantan berpotensi membantunya meraih pendapatan lumayan dan mungkin membuka mata pengusaha serantau mengikut jejak langkahnya.

Beliau nyata bertuah kerana cekap memanfaatkan gua batu kapur anugerah Tuhan itu sebagai kolam ternakan percuma untuknya merintis dan seterusnya meraih pendapatan.

Namun, projek ternakan yang dimulakan sejak 10 tahun lalu bukan dicapai dengan mudah dan terpaksa melakukan kajian sendirian mengenai kesesuaian aliran air dan kandungan oksigen dalam gua berkenaan selain menjalankan kerja pembersihan batu di sekitar gua berkenaan supaya kelihatan lebih bersih dan ceria.

Selepas didapati sesuai, sebanyak 2,000 benih ikan kelah dilepaskan dan projek berkenaan akhirnya membantunya muncul sebagai pemenang Anugerah Belia Negara 2011 Peringkat Negeri Kelantan, baru-baru ini.

Mengimbas pencapaiannya itu, beliau mengakui terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membersihkan kawasan ternakan itu sehingga mencapai tahap seperti sekarang.

Kini, bilangan ikan kelahnya sudah menjangkau 7,000 ekor dan 400 ekor yang beratnya antara tujuh hingga lapan kilogram boleh dipasarkan dengan harga ribuan ringgit setiap ekor.

“Saya berminat menternak ikan sejak kecil dan mengambil kesempatan untuk menternak ikan itu di gua batu kapur seluas 0.8 hektar yang asalnya terbiar dan kini amat puas hati dengan kejayaan ini.

“Saya akan terus memperluaskan ternakan ikan kelah demi memenuhi permintaan manakala terdetik juga niat untuk membantu kerajaan melindungi ikan jenis itu yang semakin teruk diancam kepupusan di sungai Hulu Kelantan ini,” katanya.

Apapun, usaha awal Mohd Saipul, 36, penuh ranjau dan pernah mengalami kerugian RM200,000 apabila ikan kelah yang diternak dalam kolam berhampiran Taman Rusa musnah dilanda banjir kilat.

Tragedi angkara hujan lebat selama enam jam itu membuatnya putih mata apabila beratus ikan ternakan pelbagai saiz dan ukuran lesap dihanyutkan banjir.

Beliau yang juga Ahli Peladang Unit Lepan Jaya berkata, kebanyakan benih ikan kelah itu dibeli atau diperoleh daripada penduduk Orang Asli di Hulu Kelantan.

“Pada masa depan, saya bercadang memajukan lagi projek ini supaya menjadikan kawasan ternakan ikan kelah dalam gua batu kapur itu sebagai destinasi pelancongan kerana sejak kebelakangan ini semakin ramai pelancong datang melawatnya,” katanya.

Selain itu, katanya, dia juga akan menjadikan kawasan atas gua terbabit untuk ternakan sarang burung walit kerana ia didapati amat sesuai untuk memulakan projek itu.

“Saya sudah menghadiri kursus dan mendapat sijil penyertaan Program Kesedaran Awam Burung Layang-Layang 2008 anjuran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Selain itu, beliau pernah mendapat anugerah daripada Bantuan Input Akuakultur Jabatan Perikanan Malaysia dan Penghargaan Peladang Jaya Muda Lelaki 2009 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gua Musang.

About J. Maideen

J. Maideen atau J. Kelah Adalah Seorang Penternak dan Pembekal Anak Benih Ikan Kelah Di Machang, Kelantan, Menjadikan Domain IkanKelah.com Sebagai Pentas Untuk Berkongsi Info Berita Berkaitan Ikan Kelah dan Akuakultur Di Malaysia. Semoga Bermanfaat :)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*