Tuesday , March 19 2024
Home / FAQ

FAQ

Assalamualaikum wr wb, dan
Salam hormat,

Rakan peminat, penghobi dan penternak ikan kelah sekalian…

Selepas 2 bulan, saya menerima soalan soalan berkaitan (dan sama) yang sentiasa ditanya oleh orang yang berlainan. Justeru saya rasa ada baiknya saya mulakan laman “Soalan soalan lazim” @ FAQ (Frequently Ask Question) dengan mengumpulkan kesemua soalan tersebut untuk memudahkan pembaca baru mendapatkan penjelasan berkaitan ikan kelah. Apabila ada soalan soalan baru, akan saya “updatesoalan – jawapannya di laman ini.

Soalan Soalan Lazim Ikan Kelah

1) Ikan Kelah ini ikan air tawar atau masin?

Air tawar dan mengkhusus habitat asalnya di kawasan air terjun, jeram jeram dan sungai sungai atau aliran deras di kawasan pergunungan.

2) Ikan Kelah ini apa istimewanya?

Amat bernilai kerana rasa yang sedap, hiasan yang cantik dan kehebatan bertarung dalam “sport fishing”. Justeru digelar sebagai “Kings Of The Rivers”, “The King Of Fish”, “The King of Freshwater Sport Fish”, “World Best Freshwater Sport Fish”, “Raja Ikan Air Tawar, “Raja Sungai”, dan “Ikan Sukan” sekaligus harganya termasuk dalam kategori “mahal“. Ringkasnya Ikan Kelah ini digilai kerana untuk tujuan Ikan Sukan, Ikan Hiasan dan Ikan Makan. Ikan Kelah juga mempunyai “Sanctuary” nya yang tersendiri di Taman – Taman Negara.

3) Jenis dan Spesis Ikan Kelah Di Malaysia?

Berdasarkan kajian penyelidik ikan kelah setakat ini, disimpulkan terdapat 3 jenis ikan kelah di Malaysia, iaitu:

a) Tor Tambra

b) Tor Tambroides

c) Tor Douronensis

Ikan kelah merah di Semenanjung Malaysia khususnya di Pahang, Terengganu dan Kelantan selalu dirujuk sebagai “Tor Tambroides”.  Spesis “Tor Tambroides” yang sebenar ialah ikan kelah merah yang mempunyai lebihan cuping panjang di bawah mulutnya. Sementara di Sarawak, ikan yang dirujuk sebagai “Tor Tambroides” ialah ikan empurau. Sementara ikan semah di Sarawak (ikan rasmi negeri Sarawak) dirujuk sebagai spesis “Tor Douronensis” dan warnanya lebih kehijauan tua ke coklat. Ikan kelah yang kebiruan juga biasa dirujuk sebagai dari spesis “Tor Douronensis” walaupun ianya didapati di Semenanjung Malaysia khususnya dari kawasan Endau. Ikan pelian di Sabah pula dirujuk sebagai spesis “Tor Douronensis”.

Harus juga diingat bahawa, berdasarkan rekod kajian, hanya ikan kelah dari jenis “tor tambroides” dan “tor tambra” sahaja yang boleh membesar sehingga melebihi 1 meter.

4) Bagaimana pula dengan ikan tengas dan kejor?

Ikan tengas dan kejor ialah 2 spesis ikan yang hampir menyamai ikan kelah. Jika tidak mahir, anda boleh terkeliru antara kelah dan tengas/kejor. Nama saintifik ikan tengas ialah “Neolissochilus Hexagonolepis”. Ikan tengas ini juga biasa dipanggil sebagai “tengas batu”. Sementara ikan kejor ialah “Neolissochilus Soroides”. Ikan tengas daun pula diklasifikasikan sebagai ” Poropuntius Smedleyi”.

5)  Karnivor, Herbivor Atau Omnivor?

Omnivor. Maksudnya Ikan Kelah makan semua, dia makan binatang lain (yang lebih kecil), dia makan tumbuh tumbuhan (yang terpilih) dan buah buahan (yang terpilih).

6) Ikan Kelah ini boleh diternak ke?

Boleh. Ikan Kelah boleh diternak di dalam kolam tanah, tangki, kanvas mahupun kolam simen dengan syarat adanya pergerakan air. Saya sendiri menternaknya di dalam kolam simen. Pelanggan saya ada menternak dalam kolam kanvas bulat dan kolam tanah. Semuanya ok.

7) Berapa lama nak ternak @ Bila boleh jual?

Bergantung kepada dari saiz berapa anda ternak, untuk apa anda ternak, iaitu sama ada untuk tujuan ikan makan atau ikan hiasan? Jika untuk tujuan ikan makan perlu mencapai berat 1Kg untuk boleh dijual di restoran. Jika anda bermula dari saiz 4 inci, anda memerlukan purata 2 – 3 tahun untuk mencapai berat tersebut. Jika untuk tujuan ikan hiasan, bila bila pun jika ada pelanggan nak beli, anda boleh jual dengan harga yang baik sekali tanpa perlu menunggu untuk mencapai berat 1Kg, kerana untuk tujuan ikan hiasan, biasanya dijual berdasarkan saiz inci panjangnya satu satu ekor ikan kelah itu.

8 ) Harga pasaran macam mana?

Pada masa sekarang, harga ikan kelah hidup untuk tujuan makan – restoran ialah RM80/Kg borong -mati dan RM150/Kg borong – hidup. Sementara untuk tujuan hiasan antara RM500/Kg ke RM1000/Kg bergantung kepada setiap ekor itu berapa Kg beratnya.

9) Kalau kolam 10 kaki X 10 kaki, berapa ekor boleh isi?

Jika anak benih ikan kelah bersaiz 2 ke 4  inci, 1 kaki padu boleh memuatkan 10 ekor. Jika ikan kelah telah bersaiz 1 kaki, maka 1 kaki padu boleh memuatkan 1 ekor sahaja. Dari situ, anda boleh merancang berapa besar kolam ternakan yang ingin anda bina.

10) Ada Ikan Kelah Merah dan Biru dan Hijau ke?

Ya, jika anda nampak merah – panggil ikan kelah merah dan jika anda nampak biru – panggil ikan kelah biru:) Sebenarnya, apabila disebut “ikan kelah” memang merujuk “ikan kelah merah” yang taburannya di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan. Sementara “ikan kelah biru” jarang ditemui dan secara geografi, taburannya biasa di kawasan Endau-Rompin. Sementara “ikan kelah hijau” adalah panggilan nama yang diguna-pakai oleh sesetengah orang (peminat dan penternak) untuk merujuk sebenarnya kepada “ikan tengas”, iaitu satu spesis yang mirip mirip kelah, dan juga dipanggil sebagai “false mahseer”.

11) Ada buat “Contract Farming” ke?

Pada masa ini IkanKelah.com tidak menawarkan sebarang “Contract Farming”.

12) Nak beli Ikan Kelah ni macam mana?

Pada masa ini “stocking centre” ikankelah.com ialah di Machang, Kelantan. Bila bila masa anda boleh datang membeli di sini. Jika anda tidak berkesempatan untuk datang sendiri, kami menyediakan khidmat penghantaran dengan syarat syarat berikut:

Minima order: 100 ekor. Harga seekor RM10/Ekor. Saiz 1-2 Inci.

Untuk saiz & harga terkini, sila ke link pengumuman harga ikan kelah merah terkini ini.

Kos penghantaran: Bergantung lokasi, petrol dan tol.

Cara Bayaran: Tunai & Online Banking.

Pesanan:

Selepas pengesahan pembayaran pendahuluan, penghantaran akan dibuat dalam masa 3 hari.

Pastikan akuarium atau kolam (tanki, simen, fiber) anda telah sedia dengan air yang telah bergerak minima 5 hari. Lagi bagus, jika telah dimasukkan dengan beberapa ekor anak ikan selama seminggu dan semua anak ikan tersebut hidup dengan baik.

Jika anda membina kolam simen yang baru, pastikan kolam anda telah dirawat dengan tanah ((7 hari) dan batang pisang (7 hari) yang biasanya mengambil masa minima 14 hari. Baru masuk beberapa ekor anak ikan dan tunggu lagi 7 hari. Jika ok, baru order anak benih kelah:)

13) Harga Anak Benih Ikan Kelah berapa?

Harga yang telah ditetapkan pada masa ini ialah seperti berikut:

Senarai Harga Anak Benih Ikan Kelah Bersaiz Purata 1-2 Inci Adalah Seperti Berikut:

RM10/Ekor

Untuk saiz dan harga terkini ikan kelah merah, klik sini

Sekian dahulu FAQ untuk “Ikan Kelah”. Jika ada lagi, akan kami tambah lagi:)  

J@LestariKelah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *