FAQ
Assalamualaikum wr wb, dan
Salam hormat,
Rakan rakan peminat dan penternak ikan air tawar khususnya ikan kelah dan ketutu sekalian…
Selepas 2 bulan, saya menerima soalan soalan berkaitan (dan sama) yang sentiasa ditanya oleh orang yang berlainan. Justeru saya rasa ada baiknya saya mulakan laman “Soalan soalan lazim” @ FAQ (Frequently Ask Question) dengan mengumpulkan kesemua soalan tersebut untuk memudahkan pembaca baru mendapatkan penjelasan berkaitan ikan kelah dan ketutu. Apabila ada soalan soalan baru, akan saya “update” soalan - jawapannya di laman ini.
Soalan soalan lazim Ikan Kelah
1) Ikan Kelah ini ikan air tawar atau masin?
Air tawar dan mengkhusus habitat asalnya di kawasan air terjun, jeram jeram dan sungai sungai atau aliran deras di kawasan pergunungan.
2) Ikan Kelah ini apa istimewanya?
Amat bernilai kerana rasa yang sedap, hiasan yang cantik dan kehebatan bertarung dalam “sport fishing”. Justeru digelar sebagai “Kings Of The Rivers”, “The King Of Fish”, “The King of Freshwater Sport Fish”, “World Best Freshwater Sport Fish”, “Raja Ikan Air Tawar, “Raja Sungai”, dan “Ikan Sukan” sekaligus harganya termasuk dalam kategori “mahal”. Ringkasnya Ikan Kelah ini digilai kerana untuk tujuan Ikan Sukan, Ikan Hiasan dan Ikan Makan. Ikan Kelah juga mempunyai “Sanctuary” nya yang tersendiri di Taman - Taman Negara.
3) Apa nama saintifik Ikan Kelah ini?
Tor Tambroides. Sebenarnya berdasarkan kajian boleh dikatakan terdapat 2 spesis Ikan Kelah ini di Malaysia. Pertama, Tor Tambroides (Kelah - Semenanjung Malaysia, Empurau - Sarawak) dan Tor Douronensis (Semah - Sarawak, Pelian - Sabah).
4) Karnivor, Herbivor Atau Omnivor?
Omnivor. Maksudnya Ikan Kelah makan semua, dia makan binatang lain (yang lebih kecil), dia makan tumbuh tumbuhan (yang terpilih) dan buah buahan (yang terpilih).
5) Ikan Kelah ini boleh diternak ke?
Boleh. Ikan Kelah boleh diternak di dalam kolam tanah, tangki, kanvas mahupun kolam simen dengan syarat adanya pergerakan air. Saya sendiri menternaknya di dalam kolam simen. Pelanggan saya ada menternak dalam kolam kanvas bulat dan kolam tanah. Semuanya ok.
6) Berapa lama nak ternak @ Bila boleh jual?
Bergantung kepada dari saiz berapa anda ternak, untuk apa anda ternak, iaitu sama ada untuk tujuan ikan makan atau ikan hiasan? Jika untuk tujuan ikan makan perlu mencapai berat 1Kg untuk boleh dijual di restoran. Jika anda bermula dari saiz 4 inci, anda memerlukan purata 2 - 3 tahun untuk mencapai berat tersebut. Jika untuk tujuan ikan hiasan, bila bila pun jika ada pelanggan nak beli, anda boleh jual dengan harga yang baik sekali tanpa perlu menunggu untuk mencapai berat 1Kg, kerana untuk tujuan ikan hiasan, biasanya dijual berdasarkan saiz inci panjangnya satu satu ekor ikan kelah itu.
7) Harga pasaran macam mana?
Pada masa sekarang, harga ikan kelah hidup untuk tujuan makan - restoran ialah RM80/Kg borong -mati dan RM150/Kg borong - hidup. Sementara untuk tujuan hiasan antara RM500/Kg ke RM1000/Kg.
8 ) Kalau kolam 10 kaki X 10 kaki, berapa ekor boleh isi?
100 ekor. (1 kaki 1 ekor)
9) Ada Ikan Kelah Merah dan Biru dan Hijau ke?
Ya, jika anda nampak merah - panggil ikan kelah merah dan jika anda nampak biru - panggil ikan kelah biru:) Sebenarnya, apabila disebut “ikan kelah” memang merujuk “ikan kelah merah” yang taburannya di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan. Sementara “ikan kelah biru” jarang ditemui dan secara geografi, taburannya biasa di kawasan Endau-Rompin. Sementara “ikan kelah hijau” adalah panggilan nama yang diguna-pakai oleh orang orang cina (peminat dan penternak) untuk merujuk sebenarnya kepada “ikan tengas”, iaitu satu spesis yang mirip mirip kelah, dan juga dipanggil sebagai “false mahseer”.
10) Ada buat “Contract Farming” ke?
Pada masa ini saya tidak menawarkan sebarang “Contract Farming”.
11) Nak beli Ikan Kelah ni macam mana?
Pada masa ini “stocking centre” ikan kelah saya ditempatkan di Machang, Kelantan. Bila bila masa anda boleh datang membeli di sini. Jika anda membeli di atas 1000 ekor, perkhidmatan penghantaran terus ke destinasi anda disediakan. Kos pengangkutan bergantung kepada kos sewa lori (jika perlu), minyak dan tol (jika ada) ke destinasi anda. Pada masa akan datang (dalam 1 ke 2 bulan lagi), saya akan mewujudkan “stocking centre” ikan kelah ini di Sentul, Kuala Lumpur khusus untuk memudahkan peminat dan pelanggan berhampiran Lembang Klang mendapatkan ikan kelah ini.
12) Harga Anak Benih Ikan Kelah berapa?
Harga yang telah ditetapkan pada masa ini ialah seperti berikut:
Senarai Harga Anak Benih Ikan Kelah Bersaiz Purata 4 Inci Adalah Seperti Berikut:
<10 Ekor = RM10/Ekor
< 100 Ekor = RM9/Ekor
< 1000 Ekor = RM8/Ekor
Sekian dahulu FAQ untuk “Ikan Kelah”, FAQ “Ikan Ketutu” akan menyusul kemudian:)
J@LestariKelah


